Welcome

Selamat Datang Ke Blog Kemaman Kita

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung blog Kemaman Kita. Blog ini bertujuan bagi berkongsi maklumat tentang perkara yang berlaku di sekitar daerah Kemaman, mengutarakan pandangan, membincangkan isu semasa dan pelbagai perkara lagi yang tidak bercanggah dari sudut undang-undang negara. Pandangan, cadangan serta komen daripada pengunjung blog ini amatlah dialu-alukan.

Ahad, 24 Julai 2011

Antara Konsep Pembangunan & Pengisian

CUKAI 23 JULAI - Saya telah lama rasa terpanggil bagi menulis artikel antara konsep pembangunan dan pengisian. Sebenarnya saya bukan pakar dalam pembangunan. Latarbelakang saya daripada bidang komputer. Apa yang buat saya tertarik adalah kerana saya orang asal Kemaman. Senang cerita saya memang anak jati yang dilahirkan di Cukai Kemaman.

Bila bercakap pasal pembangunan, apa yang terfikir dibenak fikiran kita? Kemaman kekadang dibandingkan dengan bandar terdekat kita Kuantan. Ada yang kata kenapa Kemaman tak boleh jadi seperti Kuantan. 10 tahun pun mungkin tidak akan berlaku kerana kita tak boleh samakan antara daerah kecil dengan sebuah ibu negeri. Kemaman dan Kuantan jelas satu perbezaan besar.



Bercakap pasal konsep pembangunan juga, tidak boleh lari daripada identiti asal kita. Kita tak boleh salin identiti orang lain. Kita kena jadi diri kita yang sebaiknya. Di Kemaman hari ini kalau dilihat pembangunan semakin meningkat. Banyak premis baru tumbuh sana sini. Tapi konsep saya secara peribadi berpandangan ianya masih belum berapa jelas. Kalau dilihat di Venice kita akan faham betapa identiti konsep pembangunan begitu dititikberatkan daripada awal Venice dibangunkan hinggalah ke hari ini. Bayangkan Venice tanpa air, maka lenyaplah Venice di muka bumi ini. Dari dulu hingga sekarang konsep pembangunan Venice masih dikekalkan. Air adalalah elemen terpenting yang sudah pasti tidak dapat dipisahkan dengan Venice. Begitu hebat pakar pemikir terdahulu dan jurutera yang pernah dan sedang terlibat bagi menaikkan Venice. Saya terasa satu hari nanti saya juga akan sampai dan melawat Venice. 


Kemaman tidak akan jadi seperti Venice secara dasarnya. Kemaman tetap Kemaman dan rakyat Kemaman sudah tentu berbangga dengan Kemaman. Sebagai anak jati, saya melihat banyak lagi potensi yang belum diterokai di Kemaman. Dalam menerokai pembangunan seharusnya konsep sesebuah pembangunan wajib dititikberatkan. Kalau kita tengok Melaka Sentral daripada aplikasi Google Earth, sebenarnya Ketua Menteri Melaka ketika itu mengilhamkan sesuatu identiti kepunyaan Melaka (Kereta Lembu). Apa yang ada di Melaka Sentral dari segi konsep amat bagus untuk dijadikan  contoh. Tapi, konsep belum cukup dan memadai. Elemen yang lebih penting selepas pembangunan naik disesebuah kawasan adalah berkisar dengan persoalan Pengisian. Apakah pengisian bagi pembangunan itu telah memenuhi kehendak penduduk sekitar? Apakah sebarang kajian keperluan pengguna dibuat? Apakah bancian penduduk menyokong bentuk pembangunan yang akan dijalankan? Adakah pembangunan tersebut akan menjadi pemangkin yang berjaya kepada sub sektor ekonomi yang lain?. 


Banyak persoalan boleh ditimbulkan disini. Oleh itu konsep pembangunan tidak dapat dipisahkan dengan pengisiannya. Sebuah bangunan yang gagah mencakar tubuh langit ibarat lalang yang menari ditiup angin. Betapa ghairahnya jika dilihat pembangunan di Dubai sehingga begitu banyak bangunan dicipta begitu cantik dan mengkagumkan indera mata, tapi bagaimana dengan pengisiannya? Saya tinggalkan persoalan ini untuk difikirkan oleh kita semua rakyat Kemaman bagi menconggak pembangunan sekitar kita. Konsep pembangunan dan pengisian suatu yang bukan subjektif. Ianya boleh dijelaskan. Boleh ditimbulkan menjadi suatu karya yang mengkagumkan jika ianya dikehendaki. Sama-samalah kita renungkan.




Wasalam

Jumaat, 22 Julai 2011

Lambaian Ramadan

CUKAI - 22 Julai. Terasa agak lama juga Blog Kemamankita tak dikemaskini. Sibuk yang panjang sebulan dua ini banyak mengheret saya kepada kerja-kerja hakiki di pejabat sampai tak sempat mengemaskini blog saya. Dalam masa 10 hari lagi, bulan rahmat bulan ramadan akan menjengguk kita kembali. Bulan ramadan yang penuh kemuliaan, penuh keberkatan dan bagi sesetengah yang mengejar akan mengatakan bulan tersebut bulan rezeki.

Banyak kerahmatan dijanjikan pada bulan ini oleh Allah SWT. Hanya terserah kepada diri kita sendiri untuk mengkaji dan mencarinya. Ada yang sama dari tahun lepas. Tak berubah. Ada yang tak sama. Sudah jumpa cahayanya. Ada yang masih hanyut seperti saya. Bagi saya kejujuran penting dalam menentukan halatuju hidup ini. Ikhlas dalam melalukan sesuatu bukan kerana dipaksa. Biarlah kita bersedia sepenuhnya bagi menghadapinya. Usah diulang yang lalu. Bawalah perubahan dalam diri kita. Ramadan bulan indah bagi yang mencarinya. Limpahan rahmat dan rezeki tidak terhingga. Sekeping murtabak diniagakan sehingga penghujung ramadan akhirnya membawa keuntungan puluhan ribu ringgit pada tuannya. Oooh rezeki, datanglah pada orang sepertiku yang tak berapa rajin dan kurang pandai mencarimu,

Hutang yang lepas perlu dilangsaikan beransur-ansur hingga tidak kelihatan di mata kasar. Janji-janji yang lalu, perlu dikaji semula. Sampai ke janji tersebut, atau masih tersesat janji itu. Ada yang telah berubah menjadi baik disebabkan bulan itu, Alhamdulillah panjatkanlah kesyukuran. Yang belum ketemukan, carilah ia. Carilah dan carilah dan teruskan pencarianmu. Bersih diri bukan mudah. Cermin diri lagi payah. Susah nak tengok buruk diri sendiri. Pintalah dariNya. Pohonlah dariNya. Moga diketemukan satu kerahmatan, kenikmatan yang tiada bandingan. Hanya Dia yang tahu. Kita cuma manusia lemah. Moga terjumpa dengan kebahagian di Ramadan ini. Amin.

Wasalam

Sabtu, 11 Jun 2011

Jumaat, 3 Jun 2011

Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda



SHAH ALAM - 3 Jun. Daulat Tuanku. Daulat Tuaku. Daulat Tuanku. Kemaman Kita mengucapkan Selamat  Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Menjunjung kasih dan merafak sembah takzim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda pada 4 Jun 2011 (2 Rejab 1432H).

Ahad, 15 Mei 2011

Photoshop Make Over


CUKAI 15 MEI - Posting saya hari ini berkait dengan pengeditan imej dalam Photoshop. Sebenarnya saya meminati Photoshop. Saya amat menyukai teknik yang digunakan dalam Make Over ini dan berharap semua dapat mencuba. Tak kisahlah ianya daripada sumber yang lain, yang penting kita dapat mempelajari sikit sebanyak ilmu Photoshop ini. Kelebihannya ialah siapa yang tahu Photoshop blog atau laman web mereka mesti ada kelainan yang tidak ada pada laman web atau blog yang lain. 

Selamat mencuba daripada Kemaman Kita.

Sabtu, 14 Mei 2011

Selamat Hari Guru

CUKAI 14 Mei - Tanggal 1994 merupakan hari terakhir saya meninggalkan alam persekolahan sebelum saya meneruskan pengajian saya ke universiti. Jika diimbas kembali ke zaman persekolahan terlalu banyak kenangan pahit dan manis tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini.

Sekolah tempat kita menimba ilmu. Banyak perkara saya pelajari sehingga saya menjadi diri saya hari ini. Saya mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chukai Kemaman (SKCK). Guru kelas yang masih saya ingat adalah Puan Rogayah yang mengajar saya semasa darjah 1. Saya tidak pasti beliau masih ada lagi atau pun tidak . Nama beliau selalu bermain dibibr saya kerana beliau terkenal dengan kegarangannya. Mungkin pada masa itu, sifat garang seorang guru adalah perkara biasa. 

Guru kedua yang saya tidak dapat lupakan adalah Cikgu Rahim, cikgu kelas muzik saya. Recorder adalah satu alat muzik yang diajar ketika itu. Nota-nota muzik diperkenalkan seawal persekolahan lagi. Murid-murid sekolah akan meniup recorder mengikut nota muzik yang disediakan oleh cikgu. Persamaan dengan Cikgu Rahim dengan Puan Rogayah adalah pada kegarangannya juga.

Guru ketiga yang memang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila adalah Cikgu Basri. Cikgu Basri adalah cikgu sukan  saya. Sejak sekolah rendah lagi saya telah mewakili bolasepak dan bertanding di sekitar daerah Kemaman. Sekolah yang  digeruni pada masa itu adalah Sekolah Rendah Kuala Kemaman (Tidak pasti nama sebenar).Kalau bertembung dengan sekolah tersebut boleh dikatakan memang akan kalahlah sekolah kami. Psikologi zaman sekolah rendah pada masa itu memang ditahap rendah. Sukan lain yang pernah saya wakili untuk sekolah adalah sepak takraw. Saya adalah 'killer' yang selalunya membunuh dengan tandukan berbisa. 'Lipat gulung' cikgu belum ajar waktu itu.

Zaman sekolah menengah saya di Sekolah Menengah Agama Alfalah, lebih menyeronokkan. Subjek yang paling saya minati adalah matematik dan  sains sahaja. Mata pelajaran lain memang saya kurang beri perhatian ketika itu. Tapi alhamdulillah berkat usaha rajin mengulangkaji dan banyak membuat latihan di rumah saya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun 1994 dan pada tahun yang sama juga saya ditawarkan bagi meneruskan pelajaran saya di universiti.

Hakikatnya, tanpa ilmu manusia tidak kemana. Dalam hal ini pendidikan adalah perkara paling penting. Revolusi manusia disebabkan pendidikan. Tanpa guru kita tidak akan pandai. Saya masih ingat lagi kata-kata ustaz saya dulu, "Seorang pendidik akan mendapat pahala selagi ilmunya diamalkan". Bayangklah besarnya pahala yang cikgu-cikgu kita dapat sampai hari ini. Kita sekarang boleh menulis, membaca dan berjaya sampai ke hari ini. Semua ini adalah jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh guru-guru kita. Mereka telah menjadikan kita manusia berguna.

Bersempena hari guru ke-40 yang akan disambut pada 16 Mei 2011, blog Kemaman Kita ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah membimbing dan mengajar kita semua. 

Rabu, 11 Mei 2011

Hujan mulai turun pagi ini...

CUKAI 11 Mei -  Pagi 11 mei 2011, cuaca agak baik di Cukai. Setelah episod panas berpanjangan akhir-akhir ini, hujan mulai turun membasahi bumi sejak awal pagi lagi. Sejak semalam lagi saya perhatikan ada tanda-tanda hujan akan turun hari ini. Rentetan cuaca panas yang boleh dirasai sehingga ke seluruh pelusuh negeri di Malaysia ini dikhabarkan berpunya akibat ribut Aere yang melanda Filifina dan kesannya amat terasa.

Sementara itu, tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga 10 Mei 2011 telah menjelaskan perkara sebenar. Bagi bulan Mei 2011, bacaan suhu tertinggi setakat ini ialah 36.2ºC yang direkodkan pada 06 Mei 2011 oleh Stesen Meteorologi Subang.Orang awam dikehendaki minum banyak air bagi mengelakkan dehidrasi dan dilarang daripada melakukan aktiviti pembakaran terbuka.


Klik di sini untuk melihat kenyataan akhbar 10 Mei 2011 keadaan cuaca di Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. 


Sabtu, 7 Mei 2011

Apa Nak Jadi Budak-Budak Remaja Kita



CUKAI 7 Mei - Apa nak jadi budak-budak remaja kita. Teringat zaman sekolah dulu. Saya bawak RxZ. Block pun korek gak. Ekzos chamber bunyi memang sedap giler halus nyaring, memang sedap didengarlah. Meter RPM saya boleh pusing lebih daripada 12000. Kiranya meter RxZ tu boleh tunjuk baliklah saper owner RxZ dia tu. JB-Kemaman memang track saya dengan sahabat baik saya Kepang dari Terengganu. Selalunya kami konvoi berdua je balik ke Kemaman dan JB. Kami berRxZ hanya setakat pergi balik kampung dan pergi kuliah sahaja. Zaman tu istilah rempit tak wujud lagi. 


Budak-budak hari ini, dah memang advanced. Dapat apa saja jenis motor kira nak rempit je (bagi mereka yang rempitlah, yang tak rempit abaikan). Mungkin mak ayah loaded giler kot. Sampai pergi sekolah pun boleh beli sorang satu motorsikal. Saya masa sekolah rendah dan menengah dulu jalan kaki je. Sekarang ni kalau tengok kat Bandar Cukai terutamanya hari Jumaat dah jadi macam pesta mat rempit. Jalan bandar macam jalan dia punya. Keluar beramai-ramai ntah dari mana datangnya, jalan bila lampu merah, berlumba kat sana sini, tak takut satu apa pun. Susah nak nasihat budak-budak kita nie. Ingat kalau putus kepala boleh tukar ke kat spare part? Cuba lah kalau boleh?. Tak insaf-insaf tengok kawan yang dah graduate kembali ke tempat asalnya.


Pada mak ayah, tolonglah perhati anak-anak masing-masing. Tak salah bagi mereka motor, tapi kena kawal. Zaman sekarang ni kena jaga betul-betul. Kena tahu saper kawan-kawan dia. Kalu leka sendiri mau ingatlah. Umur paling kritikal  budak-budak remaja kita ketika 15-21 tahun. Masa tu, jagalah betul-betul. Kena bagi perhatian lebih banyak. Pengaruh boleh datang tak kira dari mana-mana pun. Blackberry pun budak sekolah dah pakai. BBM selamber jer. Forward MMS, Video dan macam-macam lagi. Nak cakap salah saper? Tak payah main tuding jari. Jaga diri sendiri. Jaga keluarga sendiri. Jaga perut sendiri. Merempit membahayakan diri sendiri dan orang lain. Kalau nak tunjuk terror jangan sampai menyusahkan yang lain. Jangan sampai orang maki hamun. Cukup 40 kali maki, jika dimakbulkan kira selamatlah. Masih ada ruang dan masa lagi untuk perbetulkan kesilapan lalu. Semoga dapat berfikir dengan waras bila berada di atas jalan raya.

Jambatan Bukit Kuang





Kerja Pembinaan Sedang Rancak
Berjalan
CUKAI 7 Mei - Boleh dikatakan pembinaan jambatan baru Bukit Kuang ini sesuatu yang amat dinantikan. Semasa menuju ke Mesra Mall tadi saya sempat melihat kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan. Jambatan baru yang sedang dibina di bawah program ECER ini akan mempunyai empat lorong setinggi 15 meter. Dijangka siap pada 2013 pembinaan jambatan sejauh hampir 1Km ini mampu melancarkan aliran trafik terutamanya dari kawasan industri Teluk Kalung ke Bandar Cukai.




Satelit Imej Dari Google 
Saya berpendapat pembinaan Jambatan Bukit Kuang akan menjadi satu tarikan baru di Daerah Kemaman kelak apabila ianya siap sepenuhnya dibina. Tiada lagi masalah kesesakan terutamanya di waktu puncak dan juga di musim perayaan yang menyaksikan kesesakan pengguna jalan raya yang bersesak-sesak sehingga ke gerai jualan lemang di Kijal.

Apa-apa pun, kita mesti bersabar dan berterima kasih kerana kerajaan pusat sedia menimbangkan permintaan rakyat Kemaman.

Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu

KEMASIK 7 Mei - Blog Kemaman Kita mengucapkan selamat hari ibu kepada semua ibu-ibu tidak kira walau di mana pun mereka berada. Sebagai seorang insan yang bergelar anak, kita wajib bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita kerana telah telah bersusah payah membesarkan kita hingga ke hari ini. Tanpa ibu bapa, kita tidak akan wujud di dunia ini. Saya amat tertarik dengan khutbah Jumaat yang dibacakan oleh Khatib Masjid Sultan Ahmad semalam. "Sebagai seorang anak kita tidak boleh sesekali menderhaka kepada kedua-dua orang tua kita apatah berkata "Uh...!" kepada mereka. Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa adalah perbuatan  dosa besar". 


Seorang ibu yang melahirkan anak tidak pernah meminta apa-apa daripada anaknya walaupun anaknya telah hidup senang lenang dengan duit yang banyak, rumah dan kereta yang besar. Seorang ibu hanya ingin melihat anak-anaknya sihat, berjaya dan yang paling penting saling mengingati dirinya. Seorang anak yang telah menyusahkan ibu bapanya, merempit, menghisap dadah malah menjadi seorang pembunuh yang kejam malah yang sedang menunggu hukuman ke tali gantung masih mendapat tempat di hati ibunya. Walau sejahat mana seorang anak, di hati ibu tiada tolak bandingnya. Mereka tetap menyayangi kita hingga akhir hayat kita.

Tapi kita hari ini, bila senang jadi mudah melupakan. Berkunjung ke rumah ibu bapa hanya setahun sekali. Bercakap dalam telefon dengan anak isteri, kawan-kawan handalan dan teman wanita tak kira waktu dan masa beribu jam lamanya. Namun bila saja menghubungi ibu bapa, seminit pun susah. 1 SMS tak sampai 5 sen pun berat. Mulut jadi bisu. Jari jadi kaku. Otak jadi beku. Kredit tak ada, sibuk dengan kerja, sibuk dengan itu sibuk dengan ini. Sibuk mengalahkan menteri. Inilah kita hari ini. Yang lain lebih penting daripada ibu bapa sendiri.

Sempena hari ibu, jangan bersempena hari ibu saja sebenarnya, keraplah mengunjungi mereka, bertanya khabar dan dekati mereka lebih-lebih lagi apabila sekarang ini mereka telah lanjut usia. Kita jua semuanya akan tua. Anak-anak kita akan mewarisi bakat 'baikkkkk...' kita hari ini suatu hari nanti. Kalau cara itu kita melayani ibu bapa kita hari ini, cara yang sama jugalah kita akan perolehi di masa tua nanti. Hanya masa menentukan. Hormati ibu bapa tika kita masih boleh melihat mereka, tika kita masih kuat, tika kita masih sihat. Jangan jadi anak derhaka. Kelak merana di akhirat nanti. Syurga di tapak kaki ibu.

Sekadar menasihati diri sendiri yang sentiasa leka dan lalai.

Selamat hari ibu.
I always luv you mum. I luv u dad.





Iklan Jawatan Kosong di Pejabat Majlis Perbandaran Kemaman

CUKAI 7 Mei - Masih belum terlambat lagi. Masih ada banyak masa lagi untuk anda mencuba dan berusaha. Majlis Perbandaran Kemaman sedang mencari calon yang berkelayakan untuk beberapa jawatan utama di MPK. Adakah anda calon tersebut? Rebutlah peluang ini. Layari laman sesawang Majlis Perbandaran Kemaman di http://mpk.terengganu.gov.my bagi mengetahui maklumat lebih lanjut atau klik di sini untuk muat turun senarai jawatan kosong. Selamat mencuba.

Pameran TM Unifi di Mesra Mall

Broadband Lifestyle Centre @ Mesra Mall
KEMASIK 7 Mei - Bagi anda yang tidak sabar menantikan kehadiran Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi HSBB (TM Unifi) di Kemaman, Pihak GBCM dengan kerjasama TM Terengganu sedang menganjurkan program TM Broadband Lifestyle Center bagi memberi peluang kepada anda untuk melihat dengan lebih dekat lagi teknologi terkini Jalur Lebar UNIFI dan pelbagai lagi produk menarik terkini daripada TM. Jadual program adalah sebagaimana berikut:


Tarikh      :  1 Mei - 15 Mei 2011 (2 minggu) 
Tempat      :  Mesra Mall, Kemasik, Kemaman Terengganu 
Masa        :  10.00 Pagi - 10.00 Malam


Datanglah beramai-ramai untuk membeli-belah dan beriadah bersama keluarga disamping dapat melihat dengan lebih dekat lagi teknologi Unifi terkini daripada TM. Anda pasti terpegun apa teknologi mampu berikan kepada anda hari ini.