Welcome

Selamat Datang Ke Blog Kemaman Kita

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Selamat datang saya ucapkan kepada pengunjung blog Kemaman Kita. Blog ini bertujuan bagi berkongsi maklumat tentang perkara yang berlaku di sekitar daerah Kemaman, mengutarakan pandangan, membincangkan isu semasa dan pelbagai perkara lagi yang tidak bercanggah dari sudut undang-undang negara. Pandangan, cadangan serta komen daripada pengunjung blog ini amatlah dialu-alukan.

Sabtu, 14 Mei 2011

Selamat Hari Guru

CUKAI 14 Mei - Tanggal 1994 merupakan hari terakhir saya meninggalkan alam persekolahan sebelum saya meneruskan pengajian saya ke universiti. Jika diimbas kembali ke zaman persekolahan terlalu banyak kenangan pahit dan manis tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini.

Sekolah tempat kita menimba ilmu. Banyak perkara saya pelajari sehingga saya menjadi diri saya hari ini. Saya mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chukai Kemaman (SKCK). Guru kelas yang masih saya ingat adalah Puan Rogayah yang mengajar saya semasa darjah 1. Saya tidak pasti beliau masih ada lagi atau pun tidak . Nama beliau selalu bermain dibibr saya kerana beliau terkenal dengan kegarangannya. Mungkin pada masa itu, sifat garang seorang guru adalah perkara biasa. 

Guru kedua yang saya tidak dapat lupakan adalah Cikgu Rahim, cikgu kelas muzik saya. Recorder adalah satu alat muzik yang diajar ketika itu. Nota-nota muzik diperkenalkan seawal persekolahan lagi. Murid-murid sekolah akan meniup recorder mengikut nota muzik yang disediakan oleh cikgu. Persamaan dengan Cikgu Rahim dengan Puan Rogayah adalah pada kegarangannya juga.

Guru ketiga yang memang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila adalah Cikgu Basri. Cikgu Basri adalah cikgu sukan  saya. Sejak sekolah rendah lagi saya telah mewakili bolasepak dan bertanding di sekitar daerah Kemaman. Sekolah yang  digeruni pada masa itu adalah Sekolah Rendah Kuala Kemaman (Tidak pasti nama sebenar).Kalau bertembung dengan sekolah tersebut boleh dikatakan memang akan kalahlah sekolah kami. Psikologi zaman sekolah rendah pada masa itu memang ditahap rendah. Sukan lain yang pernah saya wakili untuk sekolah adalah sepak takraw. Saya adalah 'killer' yang selalunya membunuh dengan tandukan berbisa. 'Lipat gulung' cikgu belum ajar waktu itu.

Zaman sekolah menengah saya di Sekolah Menengah Agama Alfalah, lebih menyeronokkan. Subjek yang paling saya minati adalah matematik dan  sains sahaja. Mata pelajaran lain memang saya kurang beri perhatian ketika itu. Tapi alhamdulillah berkat usaha rajin mengulangkaji dan banyak membuat latihan di rumah saya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun 1994 dan pada tahun yang sama juga saya ditawarkan bagi meneruskan pelajaran saya di universiti.

Hakikatnya, tanpa ilmu manusia tidak kemana. Dalam hal ini pendidikan adalah perkara paling penting. Revolusi manusia disebabkan pendidikan. Tanpa guru kita tidak akan pandai. Saya masih ingat lagi kata-kata ustaz saya dulu, "Seorang pendidik akan mendapat pahala selagi ilmunya diamalkan". Bayangklah besarnya pahala yang cikgu-cikgu kita dapat sampai hari ini. Kita sekarang boleh menulis, membaca dan berjaya sampai ke hari ini. Semua ini adalah jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh guru-guru kita. Mereka telah menjadikan kita manusia berguna.

Bersempena hari guru ke-40 yang akan disambut pada 16 Mei 2011, blog Kemaman Kita ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah membimbing dan mengajar kita semua. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan